myMetro | OHSS boleh bawa maut



OHSS adalah singkatan kepada sindrom ‘ovarian hyperstimulation’. Ia adalah komplikasi yang berlaku apabila ovari mengalami rangsangan berlebihan sehingga menyebabkan kesan negatif terhadap tubuh wanita, malah ia boleh menyebabkan maut. 
OHSS boleh berlaku di kalangan wanita yang mengambil ubat kesuburan. OHSS lebih lazim berlaku di kalangan wanita yang menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) memandangkan ubat kesuburan yang digunakan adalah jenis suntikan gonadotrofin, dalam dos yang lebih tinggi dan untuk jangka masa yang lebih lama berbanding rawatan kesuburan bukan IVF.
Namun OHSS juga boleh disebabkan oleh pil kesuburan mengandungi bahan Clomiphene seperti yang anda tanyakan, cuma ia lebih jarang berlaku. Itulah sebabnya penting untuk wanita yang mengambil ubat kesuburan menjalani pemantauan kesannya.
Tiada cara lain untuk mengelakkan OHSS melainkan dengan tidak mengambil ubat kesuburan langsung. Pilihan ini mungkin kurang sesuai bagi wanita yang menjalani rawatan kesuburan, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai masalah penghasilan telur (anovulasi atau oligo-ovulasi). 
Ubat kesuburan membantu membanyakkan bilangan telur matang dalam sesuatu kitaran. Doktor lazimnya mengambil langkah berhati-hati dalam menentukan dos permulaan ubat kesuburan terbabit serta memantau kesannya secara ujian ultrabunyi pelvis.
OHSS boleh berlaku di kalangan mana-mana wanita yang mengambil ubat kesuburan dan menjadi lebih teruk oleh suntikan pencetus ovulasi (mengandungi hormon hCG) ataupun apabila wanita terbabit hamil (uri mula mengeluarkan hCG). Tetapi yang lebih penting adalah untuk wanita terbabit melakukan pemantauan sendiri di rumah dan memberitahu doktor mengenai perubahan yang dialami. Ini kerana diagnosis OHSS secara dasarnya dibuat berpandukan kepada simptom yang dialami, kemudian barulah dibantu dengan ujian tertentu. Lebih lambat anda mengadu masalah ini, lebih sukar untuk mengesannya pada peringkat awal.
Untuk memahami mengapa simptom ini berlaku, anda perlu memahami bagaimana OHSS boleh berlaku. OHSS berlaku apabila ovari yang terlebih dirangsang ini mula mengeluarkan bahan yang menyebabkan perubahan kepada salur darah. Salur darah menjadi lebih poros sehingga cecair di dalamnya bocor keluar. Ini menyebabkan cecair memasuki ruang lain dan bertakung sehingga boleh memenuhinya. Darah yang tinggal di dalam salur darah pula menjadi lebih pekat dan memudahkan pembentukan ketulan darah (trombosis) yang boleh menyumbatnya dan menyebabkan kesan negatif.
Simptom yang dialami terhasil daripada kesan cecair yang bocor keluar dan kesan kekurangan cecair yang tinggal di dalam salur darah. Simptom yang dimaksudkan pula adalah:

  • Perut menjadi semakin kembung sehingga boleh menyebabkan ia sangat tegang, sakit, loya atau muntah dan menyukarkan pernafasan.
  • Kurang membuang air kecil dan air kencing menjadi lebih pekat, tidak bermaya (tanda dehidrasi).
  • Pertambahan berat badan (terutama apabila melebihi lima kilogram).
    - Sakit, kemerahan, panas pada kawasan betis (kemungkinan ketulan darah terbentuk), ia lebih banyak berlaku untuk OHSS peringkat teruk. 

Apabila OHSS dikesan, doktor akan melakukan pemantauan lebih kerap dan rapi untuk menghentikannya daripada berlanjutan kepada tahap OHSS yang lebih serius sehingga boleh mengakibatkan kematian.Wanita ini dinasihatkan meminum air mencukupi (tetapi bukan berlebihan), mengambil ukuran berat badan dan ukur lilit pinggang setiap hari dan mengambil minuman atau makanan berprotein tinggi. Perubahan awal yang dialami perlu dipantau dan dimaklumkan kepada doktor terutama apabila ia menjadi lebih teruk.


Petikan dari:
myMetro | OHSS boleh bawa maut

No comments:

Post a Comment